Adam SA's FotoPage

By: Secret Admirer

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  [1]  2  3  4  5  >  >>]    [Archive]
Monday, 19-Sep-2005 00:00 Email | Share | | Bookmark

 
 


Sunday, 4-Sep-2005 00:00 Email | Share | | Bookmark
Diari Adam : Metro Ahad (04 September 2005)

Diari Adam: Remaja tak faham

SORAKAN dan tepukan gemuruh ribuan rakyat Malaysia yang membanjiri Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Dataran Merdeka bagi meraikan sambutan kemerdekaan negara ke-48, Rabu lalu, masih terngiang-ngiang di telinga.

Tatkala jarum jam menunjukkan tepat 12 malam, bergemalah sorakan merdeka dan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku. Jauh di sudut hati, Adam memanjat kesyukuran kerana dilahirkan dalam negara merdeka, aman damai dan bebas daripada keganasan serta ancaman peperangan.

Sambutan kemerdekaan tahun ini sangat bermakna kerana Adam berpeluang beraksi di dua lokasi konsert Ambang Merdeka.

Biarpun penat kerana terpaksa berkejar ke KLCC dan kemudian Dataran Merdeka, Adam puas kerana dapat memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, malah Adam anggap ia sumbangan kepada negara.

Keseronokan lebih terasa apabila melihat wajah ceria ribuan penonton yang setia menunggu sehingga konsert berakhir. Di KLCC, Adam menghiburkan penonton dengan lagu Terhangat di Pasaran bersama KRU.

Sejurus selepas habis persembahan, Adam bergegas ke Dataran Merdeka. Biarpun jaraknya tidak jauh, perjalanan itu mencemaskan kerana jalan sesak dengan kenderaan.

Mujurlah polis trafik mengiringi kereta Adam, jadi pergerakan lebih pantas dan lancar. Sepanjang perjalanan, Adam tersenyum sendiri kerana menerima layanan seistimewa itu, persis orang kenamaan. Sesekali rasa segan bertandang di hati, maklumlah siapalah Adam.

Ketika di Dataran Merdeka, Adam bergandingan dengan Esdco mendendangkan dua lagu, iaitu Tak Tahu dan Impak Maksima. Memang menyeronokkan, apatah lagi peluang ini sudah lama Adam dan rakan nantikan.

Di kesempatan ini Adam ingin berkongsi pengalaman dalam bilik persalinan di Dataran Merdeka.

Sementara menunggu giliran, semua artis ditempatkan di bilik itu. Kebetulan ramai peminat menunggu di luar dan ada juga berjaya menyelinap masuk.

Keadaan mula hilang kawalan apabila mereka berebut masuk ke bilik persalinan dan jumlahnya semakin ramai dari semasa ke semasa. Nasib baik pegawai perhubungan awam (PR) membantu meleraikan kekecohan.

Dalam pada itu Adam sempat bergambar dengan peminat. Tidak sampai hati Adam menolak permintaan mereka, walaupun penat.

Selepas habis persembahan, Adam menghabiskan masa bersama rakan Esdco di sebuah gerai makan dekat rumah Adam. Lama juga kami berbual sambil menikmati teh tarik, maklumlah peluang sebegini jarang Adam peroleh. Seronok juga sesekali berborak dengan rakan, sedar-sedar jam menunjukkan 4 pagi. Apa lagi, balik tidurlah...

Dalam pada bergembira menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, Adam perhatikan masih ramai remaja tidak mengerti makna sebenar merdeka. Ramai menyambutnya dengan cara tidak sepatutnya. Kononnya, setahun sekali, jadi sambutannya biarlah ‘meriah’.

Mereka berpesta sakan sehingga terjebak dengan perkara negatif seperti mabuk, lumba haram, rogol dan seks bebas.

Ramai juga remaja perempuan meraikan malam merdeka dengan pasangan, sedangkan perkara itu tidak harus berlaku.

Macam-macam kemungkinan boleh berlaku, silap hari bulan jadi mangsa ‘kasanova’ memuaskan nafsu.

Bunyinya mungkin keras, tetapi itulah realiti yang kerap berlaku apabila ada sambutan besar-besaran di ibu kota.

Sebenarnya tidak salah berpesta, tetapi biarlah ada hadnya. Jangan sesekali membabitkan diri dengan perkara yang memberi impak negatif kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai contoh, ketika konsert di KLCC, segelintir remaja membaling botol apabila tidak puas hati dengan penonton yang menghalang penglihatan mereka. Bukankah ada cara lebih manis dan sopan untuk menyelesaikan masalah itu? Ke mana hilangnya jati diri dan adab sopan yang diterapkan selama ini?

Di Dataran Merdeka pula, ramai Mat Rempit melepak di bahu jalan dengan motosikal.

Adam sempat juga memerhatikan gelagat beberapa pasangan kekasih muda yang tanpa segan silu bermesra di depan orang ramai. Tidakkah pemandangan itu menyakitkan mata?

Adam kecewa dengan sikap remaja yang tidak tahu menghargai erti sebenar kemerdekaan. Bukan mudah untuk menuntut kemerdekaan negara, ramai pejuang terkorban kerananya. Belajarlah menghargai jasa mereka.

Dan, jangan lupa membuka minda dan hati untuk memahami pengertian sebenar kemerdekaan. Jadilah anak merdeka yang tahu bersyukur, bijak serta berwawasan. Salam kemerdekaan ke-48!


Sunday, 28-Aug-2005 00:00 Email | Share | | Bookmark
Diari Adam : Metro Ahad (28 Ogos 2005)

-


Sunday, 21-Aug-2005 00:00 Email | Share | | Bookmark
Diari Adam : Metro Ahad (21 Ogos 2005)

Diari Adam: Cintai alam sekitar


BARU-BARU ini negara kita sekali lagi dilanda masalah jerebu yang serius. Kualiti udara mencapai paras berbahaya hingga memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat di Sabak Bernam dan Pelabuhan Klang.

Biarpun keadaan di ibu kota kembali pulih, isu hangat ini masih diperkata ramai, apatah lagi negara seberang mendakwa pembakaran terbuka di Riau berpunca daripada kelalaian pengusaha ladang kelapa sawit Malaysia yang beroperasi di sana. (Bagaimanapun, syarikat terbabit menafikan dakwaan itu)

Secara peribadi, Adam kesal dengan dakwaan itu, apatah lagi ia tidak disertakan dengan bukti sahih. Dakwaan sebegitu secara tidak langsung menjatuhkan nama baik negara, walhal kita banyak menyumbang bantuan setiap kali negara itu memerlukan pertolongan.

Jerebu baru-baru ini mendatangkan banyak masalah kepada orang ramai, khususnya yang menetap di sekitar Lembah Klang, timur dan utara Semenanjung. Ramai mengalami sesak nafas, demam, selesema, batuk, pening dan sakit mata. Kesihatan Adam juga terjejas hingga terpaksa mengenakan topeng setiap kali keluar rumah.

Kalau ikutkan hati Adam lebih suka memerap di rumah, tetapi apakah daya Adam perlu menghadiri beberapa majlis sidang akhbar, termasuk anjuran Radio Era sempena Anugerah Era 2005 tidak lama lagi.

Jerebu juga memaksa beberapa program dibatalkan, termasuk persembahan Adam sempena Formula Future Power Boat Malaysia di Putrajaya pada 13 dan 14 Ogos lalu.

Dua hari sebelum majlis, Adam menerima panggilan daripada penganjur (H2O Sports) yang memaklumkan ia terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana jerebu.

Ralat juga hati kerana Adam ingin beraksi pada acara bertaraf antarabangsa itu dan lebih mengecewakan, pada hari itu keadaan udara kembali pulih seperti biasa.

Bagaimanapun, Adam difahamkan penganjur tetap mengadakan sesi pemilihan pada hari itu dan 10 remaja di bawah umur 18 tahun terpilih mewakili Malaysia ke peringkat dunia.

Sedar atau tidak, jerebu baru-baru ini mengajar kita supaya menghormati dan lebih prihatin dengan alam sekitar. Manusia kini cuai dan sanggup mengorbankan keindahan alam sekitar demi kepentingan diri.

Pada kesempatan ini, Adam ingin mengajak pembaca supaya berfikir sejenak apa yang kita lakukan pada alam sekitar.

Tanya pada diri, adakah kita memelihara khazanah Tuhan yang sangat berharga itu? Adakah kita melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah sebaik mungkin? Tepuk dada tanya selera! Apa pun jawapannya, belajarlah menghargai dan mencintai alam sekitar kerana kita saling bergantung di antara satu sama lain.

Okaylah, kita beralih kepada perkembangan terkini Adam. Syukur alhamdulillah, biarpun masih baru dalam industri ini, nama Adam dicalonkan sebagai vokal lelaki terbaik, artis baru harapan, lagu duo/berkumpulan dan klip video terbaik menerusi lagu Terhangat Di Pasaran Anugerah Era 2005.

Adam berbesar hati dengan pencalonan itu, apatah lagi ia pilihan pendengar Radio Era. Adam tidak sangka menerima empat pencalonan tahun ini. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang mencalonkan Adam. Sokongan anda sangat Adam hargai, malah ia menjadi pemangkin semangat untuk terus mengukir nama di persada seni negara.

Jujur, Adam tidak berani meletakkan harapan tinggi kerana saingan sengit. Seandainya dinobatkan sebagai pemenang, Adam anggap itu sebagai rezeki dan jika sebaliknya, Adam terima dengan hati terbuka.

Kepada peminat Adam, tontoni persembahan istimewa Adam bersama Zahid, Farah dan Nana di Planet Hollywood malam ini. Album solo Adam akan ada di pasaran penghujung bulan ini, jadi jangan lupa mendapatkannya. Belilah yang original! Bertemu lagi minggu depan.


Sunday, 14-Aug-2005 00:00 Email | Share | | Bookmark
Diari Adam : Metro Ahad (14 Ogos 2005)

Diari Adam: Mawi ‘magic’ di mataku

SUDAH banyak rasanya Adam berkongsi cerita di ruangan ini. Kehidupan peribadi, kerjaya, Akademi Fantasia, malah tidak ketinggalan isu semasa semua sudah Adam utarakan. Sejak semalam fikiran Adam ligat memikirkan kisah apa yang ingin Adam kongsi dengan peminat kali ini.

Adam buntu... mungkin disebabkan Adam kepenatan kebelakangan ini, jadi idea pun kering.

Pun begitu, demi tidak menghampakan harapan peminat, Adam gagahkan juga memerah otak menulis di ruangan ini.

Rasanya masih tidak terlewat untuk Adam mengulas kejayaan Mawi merangkul gelaran juara AF3, selain merembat hadiah vokal dan persembahan terbaik.

Kehadiran anak muda kelahiran Kulai, Johor ini menjadi satu fenomena sehingga wujud beberapa istilah baru seperti ‘World’ dan ‘Tsumawi’. Dia bukan saja digilai remaja, malah turut diminati golongan dewasa dan warga emas.

Betapa hebat penangan Mawi hinggakan si anak kecil juga tidak ketinggalan menyokongnya.

Biarpun lebih seminggu kemenangan Mawi diperkatakan, ia masih meniti di bibir orang ramai. Di mana-mana saja, nama Mawi menjadi sebutan. Dia menjadi ikon sebahagian besar rakyat Malaysia.

Sebagai bekas pelajar AF, Adam tumpang bangga dengan kejayaan luar biasa Mawi.

Pada mulanya Adam tertanya-tanya juga di mana kehebatan Mawi. Kalau dinilai daripada suaranya, ramai pelajar AF3 yang lebih bagus. Vokal Mawi lebih sesuai membawa lagu berirama nasyid, world atau lagu seperti yang pernah didendangkan penyanyi tersohor, Jamal Abdillah.

Bagaimanapun, selepas menonton persembahan Mawi, Adam akui dia memiliki daya tarikan kuat. Tidak keterlaluan rasanya jika Adam berkata Mawi memiliki aura luar biasa.

Sekali pandang, orang terus suka dengannya. Jika orang ramai menggelar Mawi ‘World’, tetapi di mata Adam, Mawi ‘magic’.

Secara peribadi, Adam suka personaliti Mawi. Dia kelakar, selamba, tenang dan merendah diri.

Dengan kelebihan yang ada pada dirinya, Mawi boleh dijadikan idola terbaik untuk membawa remaja ke arah kebaikan.

Pernah juga peminat bertanya, tidakkah Adam rasa tercabar dengan kehadiran Mawi. Jujur, sedikit sebanyak rasa tercabar juga, tetapi tidaklah sampai timbul rasa kurang senang atau cemburu. Imej dan konsep lagu yang kami bawa jauh berbeza dan Adam percaya masing-masing ada peminat tersendiri.

Jika nak dibandingkan, persaingan AF1 dan AF2 lebih sengit kerana setiap pelajar ada peminat yang hampir sama jumlahnya.

Berbeza dengan AF3 kerana kebanyakan undian bertumpu pada Mawi. Di konsert akhir, Mawi mengumpul 58 peratus undi, sedangkan rakan lain jauh ketinggalan. Jumlah undian itu membuktikan dia memang disukai ramai.

Kemenangan Mawi memang berbaloi kerana dia melakukan yang terbaik. Daripada remaja yang tidak tahu menari, dia kini boleh menari, malah dia juga mampu menyanyi dengan baik. Segala ilmu yang diperturunkan tenaga pengajar digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Mawi.

Adam faham tekanan yang terpaksa dihadapi Mawi dan pelajar lain kerana Adam juga pernah melalui semua itu. Mawi kelihatan cukup tenang, biarpun ada masanya dia tidak dapat menangkap apa yang diajar tenaga pengajar.

Dia cuba sedaya upaya memahami apa diajar tenaga pengajar dan kesungguhan itu membuatkan Adam semakin hormat dengannya.

Felix, Amylea dan Marsha tidak kurang hebatnya. Sepertimana Mawi, mereka melakukan yang terbaik, begitu juga pelajar AF3 lain. Hanya rezeki yang tidak memihak pada mereka.

Daripada pemerhatian Adam, ramai antara mereka berbakat besar dan berpotensi pergi jauh dalam persada seni tempatan.

Seperti pelajar AF terdahulu, pasti ada yang meneruskan karier sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Mungkin juga ada yang menurut jejak langkah Nana, Burn dan Adi bergelar penyampai radio.

Biar apa pun pilihan mereka, Adam akan terus mendoakan kejayaan mereka. Semoga kehadiran mereka akan memeriahkan lagi industri hiburan negara.


[<<  <  [1]  2  3  4  5  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net